Permainan Batu Seremban
Guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat biasanya digunakan oleh kanak-kanak dalam permainan ini sebanyak lima biji. Objek-objek ini dikenali sebagai buah dan sekarang ada dijual buah batu seremban yang diperbuat dari kain yang dijahit seperti dibawah.
Permainan ini sering dimainkan diwaktu lapang, di serambi rumah, di dalam rumah atau dimana sahaja yang mereka gemari dipermukaan yang rata dan bersih dan para pemain hendaklah duduk di atas lantai.
Menentukan Giliran
Sebelum permainan dimulakan, seorang demi seorang pemain dikehendaki menimbang buah, bagi mendapatkan mata sebagai penentuan siapa yang akan bermain dahulu iaitu pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Cara menimbang buah adalah dengan kesemua buah diletakkan di atas tapak tangan dan dilambung keudara, kemudiannya disambut pula dengan belakang tapak tangan. Jumlah buah yang dapat disambut itu adalah dikira sebagai mata.
Cara Bermain
Dalam bermain Batu Seremban ini terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat pertama yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah satu hinggalah kepada peringkat lebih tinggi atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.
Buah Satu
Kesemua buah hendaklah diselerakkan dengan cara menabur di atas lantai, berkeadaan buah-buah itu tidak bersentuhan antara satu dengan yang lain. Sebiji buah diambil untuk dijadikan ibu, dan ibu hendaklah dilambungkan keudara, sementara buah ibu masih berada diudara, sebiji lagi buah hendaklah dikutip dan pemain juga hendaklah menyambut buah ibu sebelum ia jatuh kelantai. Buah yang di ambil hendaklah cepat-cepat digenggam di dalam tangan yang sebelah lagi. Perlakuan begini dibuat berterusan sehingga kesemua buah di atas lantai itu habis dilambung dan disambut.
Mati Permainan
Sekiranya ibu tidak dapat disambut atau semasa mengutip buah di atas lantai tangan mengenai biji buah yang lain atau tidak dapat mengutip buah sehingga ibu jatuh atau semasa menimbang buah dan pemain tidak dapat walau sebiji buah ianya dikira mati (permainan ditamatkan) dan permainan akan diserahkan kepada pemain seterusnya.
Buah Dua
Cara buah dua dimainkan adalah serupa seperti buah satu, tetapi buah yang dikutip mestilah dengan dua biji serentak, ini bermakna hanya dua kali lambungan buah ibu dilakukan.
Buah Tiga
Buah tiga pula terdapat sedikit perbezaan. Langkah pertama adalah dengan mengutip sebiji buah dahulu, pada lambungan kali kedua pemain hendaklah mengutip tiga biji buah serentak.
Buah Empat
Pemain mengutip kesemua empat biji buah di atas lantai dan dalam masa yang sama hendaklah menyambut buah ibu yang telah dilambungkan.
Mengutip Mata
Pemain mengutip mata dengan meletak 5 biji batu seremban di tapak tangan dan dilambung ke atas dan cuba menyambut sebanyak mungkin apabila ia jatuh ke belakang tapak tangan. Batu seremban akan dilambung semula ke udara dan digenggam semual ditapak tangan. Mata dikumpul mengikut jumlah batu seremban yang dapat digenggam.
Selepas mengutip mata, pemain kedua pula akan bermain dan mengutip mata. Begitulah seterusnya sehingga semua pemain bermain beberapa pusingan. Pemain yang mendapat mata paling banyak dikira menang. :)
Selepas mengutip mata, pemain kedua pula akan bermain dan mengutip mata. Begitulah seterusnya sehingga semua pemain bermain beberapa pusingan. Pemain yang mendapat mata paling banyak dikira menang. :)
No comments:
Post a Comment