Thursday 29 November 2012

MAHIR TEKNOLOGI-MEDIA-KAEDAH-TEORI

Mari berkongsi ilmu dengan pelbagai pengajaran dan pembelajaran di blog ini. Bermacam-macan kemahiran dan pengetahuan yang akan kita dapat berkongsi bersama. :)

CIKGU ZAKI


Klik di sini :http://my-cikgu.blogspot.com/

Monday 10 September 2012

7 Langkah Membasuh Tangan

Selepas melakukan aktiviti kanak-kanak mestilah membasuh tangan


                                
                                  

Thursday 6 September 2012

PERMAINAN GASING

Permainan Gasing
       

                Apakhabar kawan-kawan, dulu-dulu saya dan adik selalu panjat pokok jambu. Disekeliling rumah kami dulu banyak pokok jambu, bermacam jenis ada jambu batu, jambu susu, jambu air, jambu dan jambu bol.

                  

                                                   

Sebenarnya, bercerita tentang buah jambu ni bukan apa, kami dulu akan menggunakan batang pokok jambu ni untuk buat gasing sendiri. Sambil makan jambu kami pun buatlah dengan mengambil batang dan kami takik membentuk gasing. Kami ambil paku untuk paku dibawah gasing tersebut untuk dijadikan kaki gasing. Kami akan potong tampuk paku dan asahnya agar menjadi kaki gasing. Namun sewaktu diasah jangan ditajamkan sangat nanti merbahaya sewaktu dimainkan.

Cara kami bermain gasing  mudah. Tiada had peserta. Minimum 3 orang. Buat satu bulatan dalam diameter 2 kaki. Mula dengan setiap pemain melontar (pukul) dalam bulatan serentak dan cepat-cepat manarik naik gasing menggunakan tali tadi dan disebut 'JIP'. Biar gasing berpusing didalam bulatan.

Bukan senang gasing nak terus berpusing dengan sekali baling. Jadi ada yang kena lilit tali gasing balik dan baling sekali lagi. Pemain paling lambat akan jadi mangsa untuk gasingnya diletakkan dalam bulatan tadi. Pemain lain akan memangkah gasing tersebut. Berdoa panjanglah gamaknya......silap haribulan terbelah dua gasing tu. Gasing yang memangkahnya pun agak merbahaya kerana boleh terkena sesama sendiri bila lontaran tak menentu perginya.

Bila dah semua selesai memangkah gasing tadi dan gasing tersebut terselamat...he he he. Kami memulakan permainan ini balik. Seronok juga sekali sekala main gasing ni...selamat mencuba :)

PERMAINAN DAM HAJI



                               

      Apakhabar kawan-kawan, hari ini kita boleh membuat papan dam bersama-sama anak murid kita seperti di atas. Bila dah siap bolehlah kita mengajar cara-cara permainan ini pada mereka, senangkan...he he he sebab mereka dah ada papan dam masing-masing. Tak payah berebut...

      Setiap pemain memiliki jumlah buah dam yang sama (12 pada papan 8 x 8), tetapi berlainan warna. Seorang hitam dan seorang lagi putih (atau merah). Giliran pula, mana-mana pihak boleh bermula dahulu. Setelah pemain pertama menggerakkan satu buah, giliran pemain kedua pula. Begitulah seterusnya sehingga permainan tamat.

Buah Dam- Setiap buah dam cuma boleh bergerak satu petak secara pepenjuru, sama ada ke kiri atau ke kanan, sekiranya petak tersebut masih kosong. Haji (buah dam yang telah sampai ke hujung papan sebelah lawan) bergerak dengan cara yang sama, tetapi boleh pergi seberapa banyak petak yang dikehendaki.

Contoh buah haji
Bagi membezakan buah biasa dan Haji, Haji akan dilapiskan buahnya iaitu 2 biji buah.


       Permainan ini cuma memerlukan 2 orang pemain. Mari kita bermain, sekiranya di pepenjuru kanan/kiri hadapan buah sendiri ada buah lawan, dan di belakangnya kosong, maka buah lawan tersebut boleh dimakan (ditangkap dan dikeluarkan dari permainan) dengan melompat buah lawan tersebut. Ertinya, buah sendiri diletakkan di petak kosong di belakang buah lawan, kemudian buah lawan dikeluarkan dari permainan.

       Sekiranya selepas makan kali pertama, situasi yang sama berulang lagi, maka pemain berhak memakan lagi. Ertinya, seseorang pemain boleh memakan beberapa buah lawan dalam satu giliran. Perlu diingatkan bahawa buah dam biasa cuma boleh bergerak, dan oleh itu makan, ke hadapan.

      Cara makan buah haji sama dengan buah biasa. Bezanya, buah haji boleh bergerak banyak langkah, dan oleh itu boleh makan buah lawan yang jauh. Buah haji juga boleh makan ke belakang kerana ia boleh bergerak ke belakang.

       Sekiranya ada peluang memakan buah lawan, pemain diwajibkan melakukannya. Kegagalan untuk memakan buah lawan akan menyebabkan pihak lawan berhak mengambil buah pemain yang gagal memakan dan mengeluarkannya dari permainan. Sekiranya terdapat pilihan untuk memakan buah lawan, pemain boleh memilih untuk memakan mana-mana buah yang dikehendakinya. Sekiranya ada dua buah atau lebih untuk dimakan, pemain boleh memilih untuk makan seberapa banyak buah yang diingininya.


       
         Kedudukan permulaan permainan dam adalah seperti di dalam gambar di atas. Petak bawah buah damnya berwarna merah, manakala petak di atas buah damnya berwarna putih. Setiap pemain meletakkan (bagi petak 8x8) kesemua 12 buahnya pada 3 baris yang terdekat, pada petak yang berwarna gelap. Ini akan meninggalkan dua baris kosong di tengah papan permainan.
Mana-mana pihak boleh bermula dahulu, bergantung kepada persetujuan pemain.

Permainan dam tamat apabila:
  • Seorang pemain kehilangan semua buah damnya. Dia dikira kalah.
  • Seorang pemain tidak dapat menggerakkan buahnya kerana disekat. Dia dikira kalah.
  • Seorang pemain menyerah kalah.
  • Kedua-dua pemain bersetuju untuk seri, biasanya kerana kedua-dua pemain mepunyai buah haji yang tidak dapat dimakan atau disekat.

Selamat mencuba kawan-kawan :)

PERMAINAN DAM ULAR



                             
                

      Apakhabar kawan-kawan lama tak berkongsi pengalaman...

      Saya rasa semua kawan-kawan pernah bermain dam ular seperti di atas, permainan ini dimainkan secara individu.  Ia mempunyai 100 petak yang dipanggil rumah dan setiap pemain perlu masuk kesemua rumah-rumah tersebut mengikut kiraan nombor dadu yang akan mereka dapat selepas melontar dadu itu nanti.

      Tangga- mereka yang melalui petak bertangga tiada apa-apa berlaku namun jika  mereka yang berjaya membuat kiraan dan berhenti di petak yang ada tangga ia akan terus naik ke atas. (mereka yang berhenti di petak nombor 4 akan terus ke petak  nombor 21.)

      Ular-  mereka yang berhenti  di petak yang mempunyai ular, ia pula perlu turun mengikut badan ular hingga ke kepalanya.(mereka yang berhenti di petak 23 akan turun semula kebawah, petak 6)

     Dadu- permain perlu melontar dadu sekali mengikut giliran ( balingan dadu yang bernombor 6, mendapat 1 balingan percuma). Misalnya pemain pertama membaling dapat nombor 5. ia akan membawa buahnya dan letak di petak 5. Tetapi jika ada yang melontar dadu mendapat nombor 6, ia akan ke petak 6 dan membaling sekali lagi (percuma) nombor 5 dan membawa buahnya ke petak 11.


       Bagi menentukan giliran, seperti biasa One Two Som dan semua buah pemain hendaklah diletakkan di belakang rumah 1. Pemain pertama akan jalan dengan membaling dadu dan jika buah dadu bernombor 5, pemain pertama akan menggerakkan buah ke petak 5. Begitulah seterusnya sehingga ada pemenang yang berjaya sampai ke petak 100 dan dikira pemenang. 

        Selamat mencuba :)



Friday 27 July 2012

SEPAK BULU AYAM



Permainan Sepak Bulu Ayam

            Apa khabar kawan-kawan, dulu-dulu saya dan adik suka main permainan ni sebab mudah nak buatnya. Jika ayah ada sembelih ayam, kami akan menawarkan khidmat mencabut bulu ayam. He he he bukannya rajin sangat pun tetapi sebab hendakkan bulunya buat alat permainan nanti. Rumah kami banyak basikal jadi banyaklah tiub basikal yang tidak digunakan(rosak). Tiub basikal ini juga saya selalu gunakan untuk hidupkan api dapur kayu untuk panggang ayam tadi. Mmmm sedapnya...:P


OK, berbalik pada cerita asal, nak membuatnya ambil tiub basikal dan gunting menjadi bulatan dengan garis pusatnya kira-kira 4cm. Getah ini digamkan berlapis-lapis supaya tebal. Kemudian sebatang paku pendek di cucuk di tengah-tengahnya. Paku itu berfungsi sebagai pemberat dan sebagai tempat untuk mengikat pangkal bulu-bulu ayam. Ambil 4 atau 5 helai bulu ayam yang keras dan sederhana besarnya. Bulu ayam ini perlu diikat pada paku tersebut. Maka siaplah bulu ayam untuk dimainkan.

 

Bulu ayam perlu di sepak dengan tepi tumit atau sebelah dalam kaki dan jika terkena tangan, pemain dikira hilang giliran dan begitu juga jika bulu ayam jatuh ke tanah. Bagaimanapun timbangan yang dibuat selain daripada kaki tidak dikira. Sebelum permainan dimulakan, hak memulakan permainan mesti ditentukan dahulu. Ya kawan-kawan seperti biasa One, Two, Som..

Mata dikira dengan cara, pemain mestilah menimbang bulu ayam tanpa henti atau mati. Timbangan yang paling banyak dapat dilakukan oleh pemain adalah pemenang. Selamat mencuba kawan-kawanku :)

Thursday 26 July 2012

PERMAINAN BATU SEREMBAN

Permainan Batu Seremban

      Guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat biasanya digunakan oleh kanak-kanak dalam permainan ini sebanyak lima biji. Objek-objek ini dikenali sebagai buah dan sekarang ada dijual buah batu seremban yang diperbuat dari kain yang dijahit seperti dibawah.    

               

Permainan ini sering dimainkan diwaktu lapang, di serambi rumah, di dalam rumah atau dimana sahaja yang mereka gemari dipermukaan yang rata dan bersih dan para pemain hendaklah duduk di atas lantai.
                      


Menentukan Giliran
Sebelum permainan dimulakan, seorang demi seorang pemain dikehendaki menimbang buah, bagi mendapatkan mata sebagai penentuan siapa yang akan bermain dahulu iaitu pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Cara menimbang buah adalah dengan kesemua buah diletakkan di atas tapak tangan dan dilambung keudara, kemudiannya disambut pula dengan belakang tapak tangan. Jumlah buah yang dapat disambut itu adalah dikira sebagai mata.


Cara Bermain
Dalam bermain Batu Seremban ini terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat pertama yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah satu hinggalah kepada peringkat lebih tinggi atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.

Buah Satu
Kesemua buah hendaklah diselerakkan dengan cara menabur di atas lantai, berkeadaan buah-buah itu tidak bersentuhan antara satu dengan yang lain. Sebiji buah diambil untuk dijadikan ibu, dan ibu hendaklah dilambungkan keudara, sementara buah ibu masih berada diudara, sebiji lagi buah hendaklah dikutip dan pemain juga hendaklah menyambut buah ibu sebelum ia jatuh kelantai. Buah yang di ambil hendaklah cepat-cepat digenggam di dalam tangan yang sebelah lagi. Perlakuan begini dibuat berterusan sehingga kesemua buah di atas lantai itu habis dilambung dan disambut.



Mati Permainan
Sekiranya ibu tidak dapat disambut atau semasa mengutip buah di atas lantai tangan mengenai biji buah yang lain atau tidak dapat mengutip buah sehingga ibu jatuh atau semasa menimbang buah dan pemain tidak dapat walau sebiji buah ianya dikira mati (permainan ditamatkan) dan permainan akan diserahkan kepada pemain seterusnya.

Buah Dua
Cara buah dua dimainkan adalah serupa seperti buah satu, tetapi buah yang dikutip mestilah dengan dua biji serentak, ini bermakna hanya dua kali lambungan buah ibu dilakukan.

Buah Tiga
Buah tiga pula terdapat sedikit perbezaan. Langkah pertama adalah dengan mengutip sebiji buah dahulu, pada lambungan kali kedua pemain hendaklah mengutip tiga biji buah serentak.

Buah Empat
Pemain mengutip kesemua empat biji buah di atas lantai dan dalam masa yang sama hendaklah menyambut buah ibu yang telah dilambungkan.

 

Mengutip Mata
Pemain mengutip mata dengan meletak 5 biji batu seremban di tapak tangan dan dilambung ke atas dan cuba menyambut sebanyak mungkin apabila ia jatuh ke belakang tapak tangan. Batu seremban akan dilambung semula ke udara dan digenggam semual ditapak tangan. Mata dikumpul mengikut jumlah batu seremban yang dapat digenggam.

Selepas mengutip mata, pemain kedua pula akan bermain dan mengutip mata. Begitulah seterusnya sehingga semua pemain bermain beberapa pusingan. Pemain yang mendapat mata paling banyak dikira menang. :)