Thursday 6 September 2012

PERMAINAN DAM HAJI



                               

      Apakhabar kawan-kawan, hari ini kita boleh membuat papan dam bersama-sama anak murid kita seperti di atas. Bila dah siap bolehlah kita mengajar cara-cara permainan ini pada mereka, senangkan...he he he sebab mereka dah ada papan dam masing-masing. Tak payah berebut...

      Setiap pemain memiliki jumlah buah dam yang sama (12 pada papan 8 x 8), tetapi berlainan warna. Seorang hitam dan seorang lagi putih (atau merah). Giliran pula, mana-mana pihak boleh bermula dahulu. Setelah pemain pertama menggerakkan satu buah, giliran pemain kedua pula. Begitulah seterusnya sehingga permainan tamat.

Buah Dam- Setiap buah dam cuma boleh bergerak satu petak secara pepenjuru, sama ada ke kiri atau ke kanan, sekiranya petak tersebut masih kosong. Haji (buah dam yang telah sampai ke hujung papan sebelah lawan) bergerak dengan cara yang sama, tetapi boleh pergi seberapa banyak petak yang dikehendaki.

Contoh buah haji
Bagi membezakan buah biasa dan Haji, Haji akan dilapiskan buahnya iaitu 2 biji buah.


       Permainan ini cuma memerlukan 2 orang pemain. Mari kita bermain, sekiranya di pepenjuru kanan/kiri hadapan buah sendiri ada buah lawan, dan di belakangnya kosong, maka buah lawan tersebut boleh dimakan (ditangkap dan dikeluarkan dari permainan) dengan melompat buah lawan tersebut. Ertinya, buah sendiri diletakkan di petak kosong di belakang buah lawan, kemudian buah lawan dikeluarkan dari permainan.

       Sekiranya selepas makan kali pertama, situasi yang sama berulang lagi, maka pemain berhak memakan lagi. Ertinya, seseorang pemain boleh memakan beberapa buah lawan dalam satu giliran. Perlu diingatkan bahawa buah dam biasa cuma boleh bergerak, dan oleh itu makan, ke hadapan.

      Cara makan buah haji sama dengan buah biasa. Bezanya, buah haji boleh bergerak banyak langkah, dan oleh itu boleh makan buah lawan yang jauh. Buah haji juga boleh makan ke belakang kerana ia boleh bergerak ke belakang.

       Sekiranya ada peluang memakan buah lawan, pemain diwajibkan melakukannya. Kegagalan untuk memakan buah lawan akan menyebabkan pihak lawan berhak mengambil buah pemain yang gagal memakan dan mengeluarkannya dari permainan. Sekiranya terdapat pilihan untuk memakan buah lawan, pemain boleh memilih untuk memakan mana-mana buah yang dikehendakinya. Sekiranya ada dua buah atau lebih untuk dimakan, pemain boleh memilih untuk makan seberapa banyak buah yang diingininya.


       
         Kedudukan permulaan permainan dam adalah seperti di dalam gambar di atas. Petak bawah buah damnya berwarna merah, manakala petak di atas buah damnya berwarna putih. Setiap pemain meletakkan (bagi petak 8x8) kesemua 12 buahnya pada 3 baris yang terdekat, pada petak yang berwarna gelap. Ini akan meninggalkan dua baris kosong di tengah papan permainan.
Mana-mana pihak boleh bermula dahulu, bergantung kepada persetujuan pemain.

Permainan dam tamat apabila:
  • Seorang pemain kehilangan semua buah damnya. Dia dikira kalah.
  • Seorang pemain tidak dapat menggerakkan buahnya kerana disekat. Dia dikira kalah.
  • Seorang pemain menyerah kalah.
  • Kedua-dua pemain bersetuju untuk seri, biasanya kerana kedua-dua pemain mepunyai buah haji yang tidak dapat dimakan atau disekat.

Selamat mencuba kawan-kawan :)

No comments:

Post a Comment